Pasti Al-Iman

Yang Tetap dan Yang Berubah

Ath-Thawabit Wa-Mutaghoyyirat fi Masirotil Amal Islami
oleh Dr Solah Sowi
Penerjemah Oleh: Ust Mahyuddin bin Mohd Yusof, BA Hons Abu Nour-Syria

Tajuk Ath-Thawabit Wa Motaghoyyirat merupakan suatu tajuk yang baru dalam kamus cabang-cabang ilmu Islam walaupun pada hakikatnya ianya sudah lama wujud dari segi teori dan praktikalnya sejak dari zaman permulaan Islam lagi.Ianya adalah kerana Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah s.a.w merupakan agama dan cara hidup yang terakhir yang diredhai oleh Alllah s.a.w . Oleh kerana itu ia perlullah memiliki cirri-ciri khusus yang tidak sama dengan syariat-syariat lain yang sebelumnya kerana syariat-syariat yang sebelumnya hanyalah khusus untuk zaman-zaman tertentu sahaja.


Takrif

Ath-Thawabit Wa Mutaghoyyirat ini merupakan salah satu daripada keistimewaan Syariat Islam .Ia membawa maksud di dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap dan tidak berubah dengan berubahnya masa dan tempat dan di sana ada juga perkara yang boleh berubah mengikut tempat dan masa. Dalam erti kata lain Ath-Thawabit ialah sejumlah hukum hakam atau ajaran Islam yang sabit dengan nas yang qat'ie daripada Al-Quran dan Sunnah serta ijmak ulamak yang tidak menerima takwil termasuk juga sejumlah hukum hakam yang rajih yang mana jika sesiapa mengingkarinya dia termasuk di dalam golongan yang menyimpang dari landasan sebenar ajaran Islam.

Al-Mutaghoyyirat pula merupakan sejumlah ajaran Islam yang sabit dengan dalil zhonni atau perkara yang menerima ijtihad di dalam masalah furuk (cabang) yang mana khilaf di dalam perkara tesebut tidak dijadikan ukuran untuk kita berpecah belah dan menganggap pihak yang berkhilaf dengan kita sebagai bukan dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kesimpulannya, perkara yang termasuk di dalam Ath-Thawabit tidak dibolehkan untuk kita berkhilaf padanya. Semua orang yang mengaku Islam mestilah menerimanya dan menjadikannya sebagai asas kepada wala' dan bara' ataupun ukuran yang jelas dalam menerima sesorang itu daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah atau sebaliknya. Adapun dalam masalah Al-Mutaghoyyirat hendaklah semua orang Islam dari Ahli Sunnah Wal Jamaah menerima perbezaan pendapat dan bertolak ansur di dalam perkara tersebut dan tidak menjadikannya sebagai asas atau dasar untuk menerima atau menolak sesorang itu dari kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Matlamat Daripada Pengajian Ath-Thawabit Wa Mutaghoyirat

Antara matlamatnya ialah :

1. Menyatukan umat Islam dan gerakan-gerakan Islam di atas satu dasar yang jelas.

Di akhir zaman ini kita melihat umat Islam telah berpecah kepada pelbagai kumpulan dan jemaah yang menyaksikan pertelingkahan yang dahsyat sesama mereka. Masing-masing mendakwa pendapat mereka adalah betul dan yang lainnya adalah salah. Lalu mereka berpecah dan menjadi lemah sedangkan matlamat yang sama hendak dicapai iaitu menegakkan Islam walaupun di sana ada sedikit perbezaan tafsiran mengenai Islam dan ijtihad di dalam manhaj dakwah. Oleh kerana itu kita mendapati pengkajian mengenai Ath-Thawabit Wa Mutaghoyyirat ini sangat penting dalam menyatukan umat Islam kerana ia meletakkan suatu dasar yang jelas apakah perkara yang perlu diterima oleh semua kelompok dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak boleh berkhilaf padanya dan perkara apakah yang harus berkhilaf tanpa mengurangkan sedikitpun rasa kasih sayang dan semangat ukhuwwah di kalangan umat Islam. Apa yang kita lihat pada hari ini umat Islam berkhilaf dan berpecah belah di dalam perkara yang tidak sepatutnya bahkan ianya termasuk di dalam perkara remeh temeh akibat tidak memahami Ath-Thawabit Wa Mutaghoyyirat dan ianya melemahkan umat Islam dan melambatkan kemenangan Islam.

2. Membezakan Antara Prinsip dan Pendekatan Di Dalam Islam

Seperti yang kita maklumi bukan semua perkara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para Sahabatnya di dalam sirah mereka dianggap sebagai perkara yang tetap di dalam Islam dan mesti dilaksanakan dalam semua keadaan dan masa bahkan di sana ada perkara yang bersifat tasyrik yang membawa kepada hukum amali yang wajib diikuti dan di sana juga ada perkara yang bersifat pendekatan politik, cara berdakwah , strategi perang dan sebagainya yang boleh berubah mengikut masa dan tempat berpandukan kepada maslahah, kewujudan darurat dan sebagainya.

Perkara ini penting difahami terutamanya dalam medan dakwah dan cara orang Islam bermuamalat dengan bukan Islam di Negara Islam dan Negara bukan Islam supaya mereka tidak berkeras dan bertegas di dalam masalah yang bersifat pendekatan dan bukan prinsip ataupun perkara yang bersifat adat sesuatu kaum dan bukan berisfat syariat yang diturunkan oleh Allah s.a.w.

Sebagai contoh adakah perlu seseorang muslim makan dengan tangannya dengan bukan muslim di dalam satu majlis rasmi yang mana semua orang lain menggunakan sudu dan garfu di atas hujjah Nabi s.a.w menggunakan tangan ketika makan, sedangkan perkara itu bukan bersifat tasyrik bahkan ianya adalah adat kaum Arab pada ketika itu, yang mana tindakan muslim tersebut boleh menimbulkan rasa jelek bukan Islam terhadap Islam tetapi kita tidaklah mengatakan adat kaum Arab itu jelek kerana ianya adalah perkara nisbi yang berbeza pandangan dari satu tempat ke satu tempat dan satu kaum ke satu kaum.

Lapangan Ath-Thawabit

Perkara-perkara yang bersifat Ath-Thwabit ini boleh didapati kebanyakannya di dalam masalah aqidah, ibadat, akhlak dan asas-asas di dalam muamalat. Jadi kebanyakan masalah asas aqidah seperti beriman kepada Allah, rasul-rasul, hari akhirat, malaikat, dan sebagainya tidak menerima sebarang khilaf dan semua umat Islam mestilah bersatu menerimanya begitu juga dalam masalah akhlak seperti ikhlas, benar, amanah dan sebagainya yang tidak pernah berubah di dalam mana-mana syariat yang diturunkan oleh Allah s.a.w. Adapun kebanyakan ibadat perlulah di fahami bahawa ianya juga termasuk di dalam Ath-Thawabit kerana ia merupakan matlamat utama daripada Syriat Islam yang menuntut umat Islam memperhambakan diri kepada Allah s.a.w dengan cara tertentu tanpa menimbulkan persoalan kerana ianya adalah ujian sejauh mana yakinnya sesorang hamba itu dengan tuhannya. Asas-asas muamalat juga termasuk di dalam Ath-Thawabit kerana ianya sabit dengan nas qat'ie atau ijmak ulamak seperti pengaharaman riba, tipu, judi serta harusnya berjual beli, mudharabah dan lain-lain perkara yang seumpamanya.

Lapangan Al-Mutaghoyyirat

Al-Mutaghoyyirat mempunyai lapangan yang luas di dalam Islam kerana perkara-perkara yang qat'ie di dalam Islam adalah sedikit jika dibandingkan dengan dengan perkara zhonni dan ianya adalah satu kemudahan ke atas umat Islam ini dan ia juga merupakan syiar Islam sebagai agama sejagat iaitu Islam Itu Mudah.

Perkara yang termasuk di dalam Al-Mutaghoyyirat ialah masalah furuk di dalam aqidah seperti adakah Nabi s.a.w pernah melihat Allah Ta'ala ketika hidup di dunia dan perkara ini khilaf di kalangan sahabat sendiri begitu perbezaan manhaj pengajian aqidah kepada sistem sifat 20 yang berbeza dengan sistem tauhid uluhiyah, rububiyah dan sebagainya yang tidak perlu sama sekali umat Islam berpecah dan bergaduh disebabkan perkara tersebut kerana isinya adalah sama iaitu beriman kepada Allah dan mensucikannya daripada sifat-sifat kekurangan.Termasuk di dalam A-Mutaghoyyirat juga sebahgian furuk ibadat yang khilaf dikalangan fuqaha' dan bukan asas ibadat itu seperti kewajipan solat lima waktu, kewajipan zakat dan sebagainya adapun sedikit perbezaan mengenai cara menunaikan itu adalah termasuk di dalam Al-Mutaghoyyirat yang mesti kita bertolak ansur di dalamnya.

Lapangan Al-Mutaghoyyirat yang paling luas sekali ialah dalam masalah muamalat iaitu selain ibadat yang merangkumi muamalat dari segi ekonomi seperti jual beli ataupun masalah politik dan pemerintahan negara yang mana kebanyakannya bergantung kepada waqi' semasa dan maslahah dan ianya boleh berubah dari semasa ke semasa berpandukan kepada ijtihad fuqaha' dan pemerintah dengan mengambil kira kepentingan Islam dan umat Islam.


 
Blogger Templates