Pasti Al-Iman

SEJARAH


Sejarah Ringkas Pasti Malaysia

Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu maka timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam. Pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.
Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Satu perkara yang menarik pada ketika itu ialah dari segi pengasasan pengelolaan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan. Persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan pra sekolah kepada ABIM seawal tahun 1980 an. Maka lahirlah pusat- pusat pendidikan pra sekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).
Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat pra sekolah yang dikenali sebagai Putra Islam yang di kendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat pra sekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS negeri masing-masing. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui Muktamar Tahunan Ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat. Ustaz Abu Bakar Abdullah dari Terengganu telah dilantik sebagai Pengarah Jabatan PASTI yang pertama.
 
Blogger Templates